Pages

Thursday, March 25, 2010

Beckenbauer tabik Rooney


TEL AVIV: Prestasi hebat Wayne Rooney musim ini mampu membantu England menjuarai Piala Dunia, Julai ini kata Franz Beckenbauer, semalam.

Beckenbauer, yang menjuarai Piala Dunia bersama pasukan Jerman Barat selaku pemain dan jurulatih, berkata biarpun Rooney secara keseluruhannya dianggap sebagai pemain cemerlang sebelum musim ini, dia berjaya memperbaiki mutu permainannya.

“Dia melakukan tugas yang hebat di Manchester United dan saya katakan kepada anda bahawa dia akan digeruni Bayern apabila kami menentangnya dalam perlawanan suku akhir Liga Juara-Juara,” kata Beckenbauer.

“Tetapi pada masa sama dia adalah pemain cemerlang dan bermain lebih baik daripada sebelumnya. Bukan mudah untuk menjaringkan 33 gol untuk kelabnya di England atau di mana-mana saja dan jika dia terus melakukan jaringan seperti ini, dia boleh menjuarai Piala Dunia untuk England,” kata Beckenbauer, yang menghadiri kongres tahunan Uefa sebagai ahli jawatankuasa eksekutif Fifa dan juga presiden kehormat Bayern Munich.

“Saya fikir mereka akan menjadi pasukan pilihan di Afrika Selatan bersama Sepanyol, Brazil dan Argentina, kerana Argentina memiliki Lionel Messi yang seperti Rooney antara pemain terbaik dunia ketika ini.

“Mereka adalah pemain yang berbeza kerana Messi sungguh pantas dan mempunyai banyak idea dan Rooney begitu kuat, tetapi Wayne menunjukkan peningkatan ketara dalam permainannya. Dia menukar corak permainannya dan pada usia 24 tahun, permainannya semakin matang.
“Sebagai penyerang, dia menyukarkan pemain pertahanan untuk menghalangnya dan dia mampu melakukan hantaran menerusi kedua-dua sayap dengan baik. Saya tidak pernah melihat dia bermain sebaik ini dan sudah lama saya memerhatikannya,” katanya.

Menurut Beckenbauer, Rooney akan menjadi faktor utama untuk Bayern dalam perlawanan suku akhir Liga Juara-Juara.

“Kami berdepan kesibukan serta kesukaran dalam perlawanan Liga dan Piala menjelang perlawanan itu,” katanya.

“Sudah pasti kami mahu menyingkirkan mereka untuk membalas kekalahan pada perlawanan akhir 1999 tetapi ia akan menjadi sukar dan United pula memiliki Rooney. Semuanya boleh berlaku tetapi pertama sekali kami perlu mengatasi Wayne dan tiada siapa yang mampu melakukannya dengan kerap musim ini,” katanya.

Bayern akan menanti kunjungan United dalam perlawanan pertama Selasa depan dan perlawanan kedua 7 April ini.

25/03/10-Berita Harian