Pages

Tuesday, April 13, 2010

Harapan United sudah tersasar - Ferguson

BLACKBURN, England - Alex Ferguson mengakui harapan Manchester United untuk memenangi Liga Perdana England buat kali keempat berturut-turut seolah-olah tersasar, selepas mencatat seri tanpa jaringan di Blackburn.

Keputusan kelmarin menyaksikan United ketinggalan satu mata di belakang Chelsea dan bermain lebih satu perlawanan berbanding Blues.

Chelsea mungkin boleh melebar jurang mata kepada empat mata jika kelab itu menumpaskan Bolton di gelanggang sendiri, esok.

Pasukan bimbingan Ferguson akan bertandang ke gelanggang jiran tetangga, Manchester City minggu ini.

United hanya mempunyai empat perlawanan untuk diteruskan.

Kemenangan dalam semua perlawanan tersebut adalah penting bagi membolehkan pasukan itu memintas Chelsea, selain mengharap Blues akan turut mengalami keciciran mata pada pertemuan selepas ini.

Saingan akhir musim ini mendesak kedua-dua pengurus pasukan melakukan yang terbaik jika tidak mahu berputih mata.

Minggu lalu adalah tempoh yang amat sengsara buat Ferguson dan United.

Bagi saingan liga tempatan, kelab itu sekadar seri tanpa jaringan, manakala di peringkat Eropah, kelab itu tersingkir daripada Liga Juara-Juara apabila tumpas kepada Bayern Munich, Rabu lalu.

Selain kehilangan khidmat penyerang merbahaya, Wayne Rooney, United menerima perkhabaran lebih memeritkan apabila ketua pasukan England, Rio Ferdinand mengalami kecederaan pangkal paha.

Malah, dia juga diragui untuk diturunkan pada perlawanan menentang City di Eastlands, Sabtu ini.

Pemain sayap berpengalaman United, Ryan Giggs kini sedang bergelut dengan masalah kekejangan dan Rooney pula masih menjalani rawatan intensif berhubung masalah buku lali.

"Perebutan kejuaraan liga akan tersasar apabila kamu tidak memperoleh keputusan baik pada perlawanan seperti ini.

"Kami (United) kini kekurangan satu mata di belakang Chelsea dan pasukan itu turut mempunyai kelebihan kerana masih kekurangan satu perlawanan.

"Kelab itu mungkin akan menjadikan jarak pungutan mata kepada empat mata jika mencatat kemenangan pada baki perlawanan tersebut. Ia satu jarak yang besar.

"Pasukan ini berjaya menghasilkan banyak peluang dan memperoleh peluang secukupnya untuk menewaskan lawan (Blackburn). Kami seharusnya melakukan yang lebih baik.

"Ia satu keputusan yang mengecewakan. Tidak ada keraguan berhubung perkara itu. Ini satu keputusan yang menarik buat Chelsea.

"Mereka (Chelsea) akan menerima kunjungan Bolton, Selasa ini (hari ini). Apa yang pasti, mereka begitu bersemangat untuk mencipta kemenangan," kata Ferguson.


13/04/10 - Utusan Malaysia


0 Comments:

Post a Comment