Pages

Friday, April 16, 2010

United-City berdepan saat penentuan


LONDON - Lazimnya aksi penghujung musim tidak begitu penting buat dua pasukan di Manchester.

Namun musim ini, pertemuan antara City dan United begitu mustahak buat kedua-dua pasukan berjiran tersebut, terutama kepada City.

Pertemuan esok pastinya akan menjadi penentu buat pasukan tuan rumah, City untuk menjarakkan kedudukan mereka sebagai 'big four' pada saingan Liga Perdana England.

Bagi United pula, kemenangan di Eastlands memungkinkan pasukan itu terus memberi tekanan kepada Chelsea.

Blues kini merupakan pasukan pilihan untuk menjuarai Liga Perdana, apabila berkelebihan empat mata mengatasi United di tangga kedua.

City mungkin terdesak untuk memperoleh tiga mata penuh pada pertemuan esok, sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka di tangga keempat.

Kekal di tangga keempat Liga Perdana England akan melayakkan City beraksi di Liga Juara-Juara, musim depan.

United menerajui tangga teratas liga pada tiga minggu lalu, tetapi terpaksa melepaskan kedudukan itu ekoran kekalahan di tempat sendiri kepada Chelsea.

Lebih memeritkan, United kemudiannya sekadar mencatat keputusan seri 0-0 ketika bertandang ke Blackburn Rovers.

Ia menyebabkan pasukan terkemuka England itu ketinggalan empat mata kepada Chelsea, ketika mana persaingan musim ini hanya berbaki empat perlawanan.

Ia kini bukan masalah jurang mata yang tidak dapat diatasi, tetapi lebih kepada mengekang Arsenal daripada merampas tempat kedua liga.

Pasukan bimbingan Arsene Wenger ketika ini berada di tempat ketiga, dua mata di belakang United, setelah tumpas 1-2 kepada Tottenham Hotspur di gelanggang lawan, kelmarin.

City kini menghuni tangga keempat Liga Perdana England dengan mengumpul 62 mata, satu mata mengatasi Spurs.

Pencabar utama City untuk memburu tempat keempat, Spurs dilihat bakal menempuhi laluan sukar apabila berhadapan Chelsea dan United pada pertemuan selepas ini.

Sementara itu, Liverpool dan Aston Villa masih mampu untuk menggugat kedudukan City.

Liverpool kini mengumpul 56 mata, manakala Villa 55 mata selepas mencatat keputusan seri 2-2 ketika menentang Everton, kelmarin.

Dalam masa yang sama, kedua-dua pasukan pencabar tersebut sangat mengharapkan agar City mengalami kekalahan pada pertemuan selepas ini.


16/04/10 -Utusan Malaysia


0 Comments:

Post a Comment