MANCHESTER – Ryan Giggs memberi amaran kepada Bayern Munich agar bersiap sedia berdepan serangan ‘menggila’ Manchester United, apabila kedua-dua pasukan bertemu lagi dalam saingan suku akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah di Old Trafford, hari ini.
Skuad bimbingan Alex Ferguson tewas 2-1 pada perlawanan pertama di Jerman minggu lalu, dan hanya perlu menang 1-0 untuk melangkah ke separuh akhir, bertemu pemenang di antara Lyon atau Bordeaux.
Setelah terlepas kedudukan pendahulu Liga Perdana England, ekoran kekalahan 1-2 kepada Chelsea di gelanggang sendiri, Sabtu lalu, Liga Juara-Juara merupakan peluang terbaik United untuk menambah trofi musim ini, selepas menang Piala Liga, Februari lalu.
Pada ketika penjaring terbanyak mereka, Wayne Rooney tidak sempat pulih dari kecederaan buku lali, tidak hairanlah mengapa suasana di padang latihan kelab England itu agak suram, minggu ini.
Begitupun pemain tengah veteran, Giggs tetap yakin pasukannya memiliki semangat juang yang hebat untuk berdepan pertarungan ‘hidup dan mati’ itu.
Bekas pemain antarabangsa Wales itu percaya, Old Trafford mampu merubah nasib perlawanan dan memberikan tenaga tambahan kepada United untuk mencari kemenangan hari ini.
“Pujian harus diberi kepada Bayern kerana menjadikan keadaan bertambah sukar buat kami, tetapi saya yakin bermain di tempat sendiri akan meningkatkan permainan kami.
“Kami pernah melakukannya banyak kali sebelum ini dan kami akan melakukannya sekali lagi,’’ ujar Giggs.
Bayern mengejutkan United apabila mengatur serangan tanpa henti di Munich minggu lalu, dan pemain tengah Scotland, Darren Fletcher percaya, kunci utama untuk menewaskan pasukan Jerman itu adalah dengan melakukan perkara yang sama apabila kedua-dua mereka bertemu lagi.
“Ia (kekalahan) tidak dapat dielakkan. Walaupun kecewa kerana tewas menerusi dua gol lewat, namun 2-1 bukanlah satu keputusan yang paling teruk di dunia. Kami tahu kami boleh menang di tempat sendiri.
“Anda tidak akan berdepan pasukan kerdil apabila sampai di peringkat suku akhir Liga Juara-Juara, jadi kami memang sentiasa bersedia menghadapi cabaran yang sukar.
“Banyak yang telah kami pelajari tentang Bayern dan kami akan menggunakan pengetahuan itu apabila kembali ke Old Trafford.
“Pemain tengah Bayern membawa bola dengan pantas dan mereka menyusun posisi dengan baik. Keadaan di sana agak sukar, tetapi anda sudah menjangkakan perkara seperti itu apabila bermain di tempat lawan,’’ kata Fletcher.
Menurut Fletcher lagi, Bayern memiliki penguasaan bola yang baik ketika di Munich, namun United akan mengambil alih peranan itu apabila perlawanan berpindah ke Old Trafford.
Katanya, Bayern harus bersiap sedia menjangkakan perlawanan sukar United, kerana mereka amat bersedia untuk merubah keputusan perlawanan.
Jentera serangan United pasti amat berbahaya sekiranya Rooney, yang telah menjaringkan 34 gol musim ini dapat kembali daripada kecederaan.
Bayern pula menerima khabar gembira apabila berkunjung ke Manchester dengan sayap Belanda, Arjen Robben disahkan kembali ke pangkuan skuad setelah terlepas aksi peringkat pertama kerana kecederaan betis.
Bergandingan dengan perancang utama Perancis, Franck Ribery, Robben memiliki kemampuan membentuk serangan yang lebih tajam buat Bayern untuk mencari gol di gelanggang lawan
07/04/10 - Utusan Malaysia
0 Comments:
Post a Comment