Pages

Tuesday, April 6, 2010

Rooney berpeluang beraksi jumpa Bayern

LONDON - Wayne Rooney mampu kembali beraksi bersama Manchester United untuk menghadapi Bayern Munich pada saingan Liga Juara-Juara, esok lapor media Britain, semalam.

Penyerang handalan England itu mengalami kecederaan ligamen buku lali dalam perlawanan pertama Selasa lalu di Munich yang mana Bayern menang 2-1.

Bagaimanapun, menurut sumber rapat kelab itu, Rooney pulih lebih cepat daripada yang dijangka dan berpeluang bermain biarpun pengurus Alex Ferguson mengetepikan pemain itu dalam tempoh 'dua hingga tiga minggu', Jumaat lalu.

United menjangka Rooney kembali bagi perlawanan derby menentang Manchester City pada 17 April ini, tetapi Ferguson mampu memilikinya semula lebih awal.

Rooney harap beraksi apabila menentang Bayern, siar tajuk utama dalam Daily Telegraph manakala Daily Mail menyiarkan United menguji Wayne bagi menentang semula Bayern.

Minggu lalu, England cemas dengan kecederaan yang dialami Rooney, kerana begitu hampir dengan Piala Dunia yang bermula di Afrika Selatan pada 11 Jun ini.

Walaupun Rooney meninggalkan perlawanan menentang Bayern dengan bertopang manakala kaki berbalut, dia mencapai kemajuan dengan berlatih menggunakan senaman berbasikal.

Penyerang England itu berada pada prestasi terbaik musim ini, menyumbat 34 gol dan pasukan Fabio Capello mengharapkannya dapat beraksi di pusingan akhir Piala Dunia.

Pemain berusia 24 tahun itu menjaringkan gol United pada minit kedua ketika menentang Bayern tetapi mengerang kesakitan di padang pada masa kecederaan, beberapa saat sebelum Ivica Olic menjaringkan gol kemenangan Bayern.

06/04/10 - Utusan Malaysia
 

0 Comments:

Post a Comment